Thursday 18 December 2014

RIWAYAT HIDUP IMAM SYAFIE SECARA RINGKAS

PENGENALAN

Imam Syafie Rahimahumullah (R) adalah seorang ulama besar yang tidak asing lagi dan amat terkenal di kalangan umat Islam sejak dahulu hingga kini. Beliau  termasuk dalam kalangan imam-imam mazhab yang empat iaitu imam hanafi R., imam Malik R, imam Hanafi R. dan termasuklah beliau. Umum mengetahui imam Syafie adalah imam yang paling popular di antara imam besar yang lain. Beliau juga mempunyai ramai pengikut. Beliau menjadi ulama yang unggul pada zamannya kerana fatwa-fatwa yang dikeluarkannya sesuai dengan suasana masyarakat dan adat resam satu satu kaum di negeri masing-masing.
Beza imam Syafie antara imam-imam empat yg lain ialah beliau juga adalah seorang sasterawan dan pembahas yang hebat. Beliau juga menjadi perintis kepada asas Usul Fiqh yang belum pun dikenali sebelumnya.
Tidak syak lagi bahawa imam Syafie r. adalah di antara ulama Mujtahidin yang berpegang kuat pada Al-Quran, Hadis dan sumber hukum yang lain.


 RIWAYAT HIDUP

Nama sebenar imam Syafie Rahimahullah ialah Muhammad bin Idris bin al- Abbas bin Uthman bin Syafi’ bin Assaib bin Ubaid bin Abd Yazid bin Hasyim bin Abdul Muttalib bin Abd Manaf. Beliau dilahirkan di wilyah Gaza, Palestin, pada zaman pemerintahan Abu Jaafar Al-Mansur menjadi Khalifah Di Baghdad, khalifah Bani Abbasiyah yang kedua. Mengenai tahun kelahirannya, para ahli sejarah sepakat bahwa beliau lahir pada tahun 150 Hijrah bersamaan767 Masihi. Beliau berketurunan arab Quraisy. Di tahun ini juga wafatnya seorang ulama besar yang bernama Imam Abu Hanifah R. Imam Syafie berketurunan arab Quraisy. Ibu bapa beliau berasal dari Makkah Almukarramah. Kebanyakan tokoh sejarah menyatakan beliau mempunyai nasab keturunan dari nabi Muhammad S.A.W. melalui moyang baginda S.A.W iaitu Abd. Manaf.

Menurut riwayat, bapa beliau telah pun meninggal dunia ketika beliau masih kecil iaitu ketika berumur 2 tahun. Terdapat juga riwayat lain yang menyatakan ketika beliau masih di dlam kandungan ibunya. Beliau telah  dilahirkan di rumah kerabatnya di negeri Gaza, Palestin. Menurut sebahagian riwayat, ibu beliau membawa beliau kembali ke Mekah ketika berumur 10 tahun. Imam Syafie  wafat di Mesir ketika berumur 54 tahun pada tahun 204 Hijrah bersamaan 820 Masihi.


Carta alir salasilah keturunan Imam Syafie r.

Beliau R. digelar As-Syafie sempena mengambil nama moyangnya yang ke empat iaitu Syafiشافع) ) bin Assaib .(السائب) Selain itu, imam Syafie juga mempunyai gelaran yang lain Antaranya ialah :

a. Al -Imam Naasirus Sunnah - Imam Pembela Sunnah.
b. Al-Imam Zayn Al-Fuqaha – Imam Hiasan Fuqaha  
c. Sayyid al-Fuqaha – penghulu fuqaha.
d. Taj Al-Fuqaha – Mahkota Fuqaha.
e. Anak Bapa Saudara Nabi/ Golongan Zawil Qurba.

SIFAT PERIBADI

Imam Syafie seorang yang bertakwa, warak dan tidak cinta kepada dunia seperti beliau cinta pada Allah dan rasul-Nya. Imam Syafie Rahimahumullah adalah seorang yang mempunyai kuasa ingatan yang luar biasa dan cerdas akal fikiran. Buktinya beliau telah menghafaz Al-Quran sebelum mencapai umur aqil baligh, iaitu ketika beliau berumur 9 tahun. Selain itu beliau juga telah menghafaz kitab Al-Muwatta’ ((الموطَّأ) karangan imam Malik selama 9 hari sahaja. ketika beliau berumur 12 tahun. Selain itu, beliau juga mampu mengeluarkan fatwa ketika berumur 15 tahun. Selain dari kelebihan diatas, beliau juga mempunyai suara yang merdu sehingga ada  pendengar yang mengalirkan air mata apabila mendengar bacaan ayat Quran dari beliau. Pada seawal umur 13 tahun, beliau terkenal sebagai sebagai seorang qari yang masyhur.
Beliau juga menghafal banyak hadis dan tahu latar belakang sanadnya secara terperinci sehingga ramai ulama yang mengkaji hadis terpaksa bergantung pada panduan dan petunjuk beliau.
            Imam Syafie juga seorang yang fasih bercakap. Beliau juga seorang yang berakhlak mulia. Beliau seorang yang sentiasa menjaga adab dan disiplin dalam menuntut ilmu.

PENDIDIKAN

            Diriwayatkan bahawa orang yang mendorong beliau terus menuntut ilmu ialah ibunya sendiri. Oleh kerana beliau sangat meminati dan gigih dalam menuntut ilmu, beliau telah membahagikan waktu malamnya kepada 3 bahagian, iaitu:
            a. 1/3 malam untuk berehat.
            b. 1/3 malam untuk  menulis ilmu pengetahuan
            c. 1/3 malam untuk beribadah.

            Imam Syafie juga seorang yang sangat berani menegakkan kebenaran. Beliau akan menegur sesiapa sahaja jika didapatinya pendapat mereka atau amalan mereka salah. Beliau pernah menegur para pengikut imam Malik yang menghormati kopiah guru mereka secara berlebihan.
Disebabkan beliau bukanlah tergolong dari kalangan keluarga yang kaya, maka kebanyakan nota-nota pengajiannya ditulis menggunakan kertas-kertas yang terbuang dan pelepah-pelepah tamar. Dalam suatu masa, bilik beliau menjadi sempit disebabkan terlalu banyak kertas catatan ilmu yang dipelajari.
            Imam syafie amat meminati dalam menuntut ilmu Al-quran, fiqh, hadis, sejarah, bahasa arab dan kesusasteraan arab. Beliau telah diserahkan untuk belajar dengan seorang guru di Mekah untuk mempelajari syair, sastera dan sejarah.  Beliau telah mempelajari ilmu tersebut dengan ramai ulama. Ini menjadikan beliau seorang yang mahir dan diakui kebolehannya dalam mencipta syair-syair yang mempunyai bait yang amat indah.
Imam Syafie bukan setakat belajar di Mekah, malah disebabkan minat yang mendalam terhadap ilmu, beliau telah mengembara ke Madinah, Yaman, Iraq, Iran, dan Palestin. Seperti imam-imam besar yang lain, beliau juga belajar dengan ramai ulama kerana belajar daripada seorang atau dua orang ulama sahaja dianggapnya belum mencukupi. Antara guru-gurubeliau ialah :
a. Imam Muslim bin Khalid Al-Zinji, mufti Mekah.
b. Imam Malik r., pengasas mazhab Maliki.
c. Sufian bin Uyainah, ulama hadis yang terkenal.
            d.  Sayid bin Al-Qudah.
            e. Daud bin Abd. Rahman.
            f. Al-Attar
            g. Matraf bin Mazin.
            h. Hisyam bin Yusuf.
            i. Ibrahim bin Sa’ad Al-Ansari.
            j. Abdul Aziz bin Muhammad Al-Darwadi
            k. Ibrahim bin Yahya.

Imam Syafie adalah seorang yang amat menghormati hadis. Beliau amat teliti dalam memeriksa hadis yang diterimanya atau disampaikan orang kepadanya. Beliua hanya menerima dan mengakui hadis yang diriwayatkan oleh orang-orang yang terjamin kebenaran pertuturannya, taat menghayati ajaran agama, memahami apa yang diriwayatkan, kuat ingatan dan mendengarnya langsung daripada orang yang meriwayatkan. Selain itu, beliau juga mengambil kadah ijmak sebagai sumber hukum seseudah hadis dengan beberapa syarat. Beliau menolak pendapat-pendapat yang berdasarkan wahaman dalam masalah agama.